Tuesday, May 30, 2017

Q&A | Tips Doa Dimakbulkan

Soalan,
“apakah tips-tips agar doa dimakbulkan Allah?”

Jawapan,
bismil Llāhi r-Rahmāni r-Rahīmi, al-hamd liLlāh, wa s-Salātu wa s-Salāmu ’alā Rasūli Llāh, wa’alā ālih, wa ba’d,

Allah –subhānahu wa ta’ālā– telah berfirman;

«ادعوني أستجب لكم، إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين.» [غافر؛ ٦٠]

Ertinya: Berdoalah kalian kepada Aku, nescaya akan Aku mustajabkan ia untuk kalian. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari berdoa kepada-Ku dan mentauhīdkan¹ Aku, mereka akan memasuki neraka Jahannam dalam keadaan hina dan kerdil.²

Dan firman-Nya lagi;

«وإذا سألك عبادي عني فإني قريب، أجيب دعوة الداع إذا دعان، فليستجيبوا لي وليؤمنوا بي لهلم يرشدون» [البقرة؛ ١٨٦]

Ertinya: Dan bilamana hamba-hamba-Ku bertanya tentang-Ku kepada engkau – wahai Muhammad –, maka ketahuilah bahawa ilmu aku³ begitu dengan mereka. Aku mendengar⁴ doa sang pendoa bilamana dia berdoa kepada-Ku. Maka taatilah Aku¹¹ dan berimanlah dengan-Ku, semoga kalian mendapat petunjuk.

Allah –jalla wa ’alā– telah mberi sebuah konfirmasi bahawasanya doa-doa akan dikabulkan.

Namun kenapa masih ada doa-doa yang tidak maqbūl [baca: diterima]?

Sheikh Muhammad bin Sālih al-Munajjid –hafizahu Llāh– melalui laman beliau ‹al-Islām: Su‘āl wa Jawāb› menyenarai 7 tips bagi memastikan doa sampai kepada Allah,

iaitu;

i. Ikhlās dalam berdoa.

Ini adalah syarat yang terpenting, firman Allah «وادعوه مخلصين له الدين» [dan berdoalah kalian kepada-Nya ikhlās untuk-Nya — 7:26].

Yang dimaksudkan dengan ikhlās adalah meyakini dengan pasti bahawa Allāh-lah yang diminta-minta, dan Dia berkuasa untuk mengabul hajat-hajat kita.

Sudah lepas?

ii. Tawbat dan kembali kepada Allah.

Ini kerana dosa merupakan antara hijab yang menutup doa kita untuk bertemu Allah. Kerana itu mulakanlah doa dengan istighfār [baca: memohon keampunan] sebelum diteruskan dengan hajat-hajat yang lain.

iii. Khushū’, khudū’ [baca: merendah diri], tazallul [baca: menghinakan diri].

Ini semua adalah roh doa.

iv. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dengan mengulang-ulang doa banyak kali tanpa tergesa-gesa.

RasuluLlah –salla Llāhu ’alayhi wasallam– bersabda;
يستجاب لأحدكم ما لم يعجل،
dimakbulkan doa setiap kamu selagi mana dia tidak tergesa-gesa,
يقول: دعوت فلم يستجب لي.
iaitu dengan berkata, “aku dah doa, tapi Allah tak makbulkan.”

v. Memperbanyakkan doa dalam keadaan senang.

RasuluLlah –salla Llāhu ’alaihi wasallam– bersabda;
تعرف إلى الله الرخاء، يعرفك في شدة.
Kenalilah Allah tatkala lapang, nescaya Dia adan mengenalimu tatkala sempit.

vi. Bertawassul dengan nama-nama Allāh yang baik.

Firman-Nya;
ولله الأسماء الحسنى فادعوه بها.
Ertinya: Sesungguhnya bagi Allāh itu nama-nsma yang baik, maka berdoalah dengannya.

Sebagai contoh, jika kamu mahu meminta rezeki, maka berdoalah “ya Razzāq, berikan aku rezeki!”

vii. Memilih doa-doa yang ringkas dan padat, dan sebaik-baiknya sudah tentulah doa yang ma‘thūr daripada an-Nabiy –salla Llāhu ’alayhi wasallam.

Namun jika tidak mengetahui doa-doa yang ma’thūr, tidaklah pula menjadi kesalahan dengan doa kita sendiri. Walaupun dalam bahasa Melayu, hatta bahasa isyarat sekalipun!

Itulah ia tips-tips pengabulan doa yang dikongsikan Sheikh al-Munajjid dan anak-anak murid beliau.

Adapun mawāni’ atau penghalang-penghalang doa dari sampai kepada Allah, kita bincang lain kali.

Wa Llāhu ta’ālā a’lā wa a’lam, wa Llāhu l-Musta’ān wa ilayhi l-Musytakā.
Wa l-hamd liLlāhi Rabbi l-’Ālamīn.

Muhammad ’Ataullah bin Mohd Ali,
Penuntut Ilmu Shar’iy.

4 Ramadhān 1437,
Thulathā’.

[1] Lihat: Tafsīr ibn Kathīr
[2] ibid
[3] Lihat: Tafsīr al-Kitāb al-’Azīz oleh al-Wāhidiy
[4] ibid
[11] Lihat: Ma’ālim at-Tanzīl oleh al-Baghawiy

No comments:

Post a Comment