Sunday, March 26, 2017

Artikel | Kamu Ni Lagi Alim ke Dari Imam Shafii?

1. Tempoh hari, saya terbaca pada buku terbitan MAIS yang berjudul Bidaah: Antara Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah dan al-Wahabiyyah.

2. Ketika ia membicarakan berkenaan zikir secara jahar (nyaring), katanya ia adalah sunnah kerana di sana terdapat hadith yang diriwayat oleh al-Bukhāri dan Muslim;

Berkata ibn `Abbas, —semoga Allah meredainya:

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم.

[bahawasanya mengangkat suara ketika habisnya solat fardu ada pada zaman an-Nabi – sallaLlahu `alayhi wasallam.]

2. Saya terfikir, adakah penulis buku ini lebih alim daripada al-Imām as-Syāfi`i – radiyaLlahu `anhu?
Adakah penulis ini mujtahid mutlak sehingga mampu mengistinbat sendiri daripada hadith tanpa merujuk kepada para ulama’?

Adakah mereka sudah kuasai ilmu-ilmu alat semisal nahwu, sarf, balaghah, bayan, nasikh wal-mansukh dll?

Tidakkah mereka tahu bahawa ulamā’ ibarat gelas yang memudahkan kita untuk minum daripada jag besar hadith nabi sallaLlahu `alayhi wasallam?

3. Berkata al-Imām al-Jalīl Abu `Abd Allah Muhammad ibn Idrīs as-Shafi`i – rahimahuLlah wa radiya `anhu di dalam al-Umm, pada bāb kalām al-imāmi wa julusihi ba`da as-salām;

وأختار للإمام والمأموم أن يذكرا اللهَ بعد الانصراف من الصلاو ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يحب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر فإن الله عزوجل يقول: «ولَا تجهرْ بصلاتك ولا تخافت بها» يعني والله تعالى أعلم الدعاء ولا تجهر ترفع ولا تخافت حتى لا تسمع نفسك ... إلخ

[Dan aku memilih (pendapat) agar imam dan makmum berzikrullah dan menyembunyikan [memperlahankan] zikir.

Kecuali jika imam mahu mengajar makmum, maka nyaringkanlah sehingga dia melihat makmum sudah faham,

kemudian perlahankanlah balik.

Kerana sesungguhnya Allah – `azza wa jalla – berfirman;
ولا تجهر بصلاتك ولا تخافت بها.

Yakni: Allah – ta`ala – lebih mengetahui akan doa, maka janganlah dijaharkan dengan mengangkat suara dan janganlah pula perlahankan sehingga engkau sendiri tidak dengar...].

4. Namun saya pernah ditegur agar tidak terus mengemukakan teks al-Umm kerana teks al-Imām cumalah mampu difahami oleh para ulamā’ as-Shāfi`iyyah, maka saya bawakan kalam al-Imām an-Nawawi –rahimahuLlah di dalam al-Majmū`;

وهكذا قال أصحابنا: أن الذكر والدعاء بعد الصلاة يستحب يسر بهما إلا أن يكون إماما يريد تعليم الناس فيجهر ليتعلموا فإذا تعلموا وكانو عالمين أسره.

[... begitulah pendapat as-Shāfi`iyyah — iaitu zikir dan doa selepas solat sunat diperlahankan keduanya kecuali imam mahu mengajarkan makmun maka nyaringkanlah untuk mengajar makmun,

apabila mereka telah belajar dan tahu, maka perlahankanlah.]

5. Apakah penulis ini begitu hebat dan mujtahid daripada para as-hab as-Shāfi`iyyah?

Ketahuilah bahawa memperlahankan zikir dan doa itu sunnah di sisi Mazhab as-Shafi`i yang menjadi pegangan utama negara kita, Malaysia — selain Perlis.

Maka mari kita memperlahankan zikir dan doa DEMI MENGHORMATI MAZHAB MAJORITI DI NUSANTARA.

Janganlah jadi wahhabi yang tidak menyukai pendapat mazhab as-Shafii!

6. Saya menulis ini selepas mendengar ceramah Ustaz Engku Fadzil di Ikim.fm bertajuk ‘Ulama’ Pewaris Nabi’. Dia melarang para pendengar dari mengambil terus hukum daripada al-Qur'an dan sunnah, bahkan perlu melalui para ulama`.

#semakdirisendiri

`Ataullah Mohd Ali,
Shah Alam.

No comments:

Post a Comment